Sabtu, 28 Mei 2011

Biografi Imam Junaid Al-Baghdadi

Biografi Imam Junaid Al-Baghdadi

 


Junaid Al-Baghdadi adalah seorang ulama sufi dan wali Allah yang paling menonjol namanya di kalangan ahli-ahli sufi. Tahun kelahiran Imam Junaid tidak dapat dipastikan. Tidak banyak ditemukan tahun kelahiran beliau pada biografi lainnya. Beliau termasuk orang terawal yang menyusun dan membahas tentang ilmu tasauf dengan ijtihadnya. Banyak kitab-kitab yang menerangkan tentang ilmu tasauf berdasarkan kepada ijtihad Imam Junaid Al-Baghdadi.

Imam Junaid adalah seorang ahli perniagaan yang berjaya. Beliau memiliki sebuah gedung perniagaan di kota Baghdad yang ramai pelanggannya. Sebagai seorang guru sufi, beliau tidak disibukkan dengan menguruskan perniagaannya sebagaimana sebagian peniaga lain yang kaya raya di Baghdad.

Waktu yang beliau gunakan untuk berniaga sering disingkatkan karena beliau lebih mengutamakan pengajian bagi para muridnya yang dahaga ilmu pengetahuan. Sesuatu yang mengagumkan ialah Imam Junaid selalu menutup kedainya setelah selesai mengajar murid-muridnya. Kemudian beliau kembali ke rumah untuk beribadah seperti solat, membaca al-Quran dan berzikir.

Setiap malam beliau berada di masjid besar Baghdad untuk menyampaikan kuliahnya. Penduduk Baghdad banyak berdatangan ke masjid untuk mendengar kuliahnya sehingga masjid penuh sesak.

Imam Junaid hidup dalam keadaan zuhud. Beliau redha dan bersyukur kepada Allah SWT dengan segala nikmat yang dikurniakan kepadanya. Beliau tidak pernah berangan-angan untuk mencari kekayaan duniawi dari sumber pekerjaannya sebagai peniaga.

Beliau selalu membagi-bagikan sebagian dari keuntungan perniagaannya kepada golongan fakir miskin, peminta dan orang-orang tua yang lemah. Bertasauf sesuai Sunnah Rasulullah saw.

Imam Junaid seorang yang berpegang kuat kepada al-Quran dan as-Sunnah. Beliau sentiasa merujuk kepada al-Quran dan sunnah Rasulullah saw dalam setiap pengajiannya.

Beliau pernah berkata:

“Setiap jalan (tarekat) tertutup, kecuali bagi mereka yang sentiasa mengikuti perjalanan Rasulullah saw. Barangsiapa yang tidak menghafal al-Quran, tidak menulis hadis-hadis, tidak boleh dijadikan panutan dalam bidang tasauf ini.”

Memiliki Beberapa Kelebihan dan Karamah

Imam Junaid mempunyai beberapa kelebihan dan karamah. Di antaranya ialah pengaruh beliau yang kuat setiap kali menyampaikan kuliahnya. Kehadiran murid-muridnya di masjid, bukan saja terdiri dari orang-orang biasa, bahkan semua golongan meminatinya.

Masjid-masjid sering dipenuhi oleh ahli-ahli falsafah, ahli kalam, ahli fikih, ahli politik dan sebagainya. Namun begitu, beliau tidak pernah angkuh dan bangga diri dengan kelebihan tersebut.

Diuji Dengan Seorang Wanita Cantik

Setiap insan yang ingin mencapai keredhaan Allah selalu menerima ujian dan cobaan. Imam Junaid menerima ujian daripada beberapa orang musuhnya setelah pengaruhnya meluas. Mereka telah membuat fitnah untuk menjatuhkan reputasi Imam Junaid.

Musuh-musuhnya telah bekerja keras menghasut khalifah di masa itu agar membenci Imam Junaid. Namun usaha mereka untuk menjatuhkan kemasyhuran Imam Junaid tidak berhasil.

Musuh-musuhnya berusaha membuat sesuatu yang dapat memalukan Imam Junaid. Pada suatu hari, mereka menyuruh seorang wanita cantik untuk menggoda Imam Junaid. Wanita itu pun mendekati Imam Junaid yang sedang tekun beribadah. Ia mengajak Imam Junaid agar melakukan perbuatan terkutuk.

Namun wanita cantik itu dikecewakan oleh Imam Junaid yang sedikitpun tidak mengangkat kepalanya. Imam Junaid meminta pertolongan dari Allah agar terhindar daripada godaan wanita itu. Beliau tidak suka ibadahnya diganggu oleh siapapun. Beliau melepaskan satu hembusan nafasnya ke wajah wanita itu sambil membaca kalimah Lailahailallah. Dengan takdir Allah, wanita cantik itu tersungkur ke bumi dan mati seketika.

Mendengar berita kematian wanita tersebut, Khalifah memarahi Imam Junaid karena dianggap telah melakukan sebuah tindakan jinayah (kejahatan).

Lalu khalifah memanggil Imam Junaid untuk memberikan penjelasan atas perbuatannya. “Mengapa engkau membunuh wanita ini?” tanya khalifah.

“Saya bukan pembunuhnya. Bagaimana pula dengan keadaan tuan yang diamanahkan sebagai pemimpin untuk melindungi kami, tetapi tuan berusaha untuk meruntuhkan amalan yang telah kami lakukan selama 40 tahun,” jawab Imam Junaid.

Wafatnya

Akhirnya kekasih Allah itu telah menyahut panggilan Ilahi pada 297 Hijrah. Imam Junaid telah wafat di sisi As-Syibli, salah seorang muridnya.

Ketika sahabat-sahabatnya hendak mengajar kalimat tauhid, tiba-tiba Imam Junaid membuka matanya dan berkata, “Demi Allah, aku tidak pernah melupakan kalimat itu sejak lidahku pandai berkata-kata.”

sumber :
http://syafii.wordpress.com/2008/07/05/junaid-al-baghdadi/


Tidak ada komentar:

Poskan Komentar